Pengikut Boyzzonne

Tuesday, October 11, 2011

Isteri Dingin Gigit Telinga




Gigit Telinga Suami Tua

CEDERA...Chong menunjukkan telinga Chin yang luka digigit isterinya.

KUALA LUMPUR: Hanya kerana enggan bermesra di ranjang, seorang pemandu teksi cedera di telinga kiri akibat digigit selain diugut akan dipotong alat kelamin oleh isterinya dalam kejadian, 3 Oktober lalu.
Lebih mengejutkan, mangsa dikenali sebagai Chin Weng Seng, 61, turut disembur racun serangga dan minyak gamat di bahagian mata oleh pasangannya itu.

Menurut Weng Seng, isterinya yang dikenali sebagai Le Thi Quang, 29, warga Vietnam turut mengancam mengatakan dirinya menghidap HIV positif dan akan menyebarkan virus berkenaan kepadanya.
“Pada malam kejadian, saya mengajak isteri bermesra sebelum dia menggigit telinga kerana enggan melayani kehendak saya.

“Setelah menggigit telinga kiri saya hingga berdarah, dia mengamuk sambil mengugut mahu memotong alat kelamin saya dengan menggunakan gunting sambil menjerit menyatakan dia menghidap HIV positif.

“Keesokannya, saya mendapati Thi Quang melarikan diri dari rumah dan segala barangan peribadinya dibawa bersamanya,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini, semalam.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan mereka berkahwin, wanita terbabit enggan membenarkan dia memasuki rumah selepas pulang dari kerja sehingga terpaksa bermalam di dalam teksi saja.

Difahamkan, mangsa berkahwin dengan isterinya yang juga warga Vietnam itu melalui agensi cari jodoh yang mengenakan bayaran sebanyak RM18,000.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima lima kes aduan berkaitan masalah perkahwinan membabitkan wanita warga asing sejak tahun lalu.

“Kes kali ini mungkin yang paling teruk setakat ini apabila mangsa cedera selain menerima ugutan daripada wanita berkenaan.

“Bulan lalu, kami turut menerima aduan seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengahwini wanita warga Vietnam berusia 20-an juga melalui agensi cari jodoh dan menghadapi masalah serupa.

Pelajar nafi pencipta asal logo penghormatan Steve Jobs



Pelajar rekaan di Hong Kong, Jonathan Mak bergambar dengan logo penghormatan pengasas syarikat Apple, Steve Jobs.


HONG KONG - Seorang pelajar seni reka di Sekolah Rekaan Universiti Politeknik Hong Kong, Jonathan Mak semalam menyatakan logo penghormatan pengasas syarikat komputer Apple, Steve Jobs bukan ciptaan aslinya.
Menurutnya, dia bukan yang pertama mereka logo tersebut yang menampilkan buah epal dan mempunyai bayangan bentuk sisi muka Jobs.
Rekaan Mak yang berusia 19 tahun itu menjadi popular di alam siber ekoran kematian Jobs.
Ia menjadi popular selepas disiarkan oleh Mak pada Khamis lalu selepas Jobs meninggal dunia.
Rekaan itu mendapat ribuan komen dengan topi dan baju T dijual di laman lelongan e-Bay memaparkan ciptaannya.
Logo tersebut juga digunakan oleh pelakon Hollywood, Ashton Kutcher di laman profail Twitternya.
Mak membuat komen tersebut selepas terdapat komen di laman Twitter bahawa seorang pereka yang berada di United Kingdom (UK) dikenali sebagai Raid71 sebenarnya telah mencipta logo tersebut pada Mei lalu.
Rekaan pereka UK itu itu turut meletakkan bayang Jobs tetapi dimensinya tidak sama seperti ciptaan Mak.
"Saya lebih gembira untuk memberitahu bahawa terdapat seseorang yang membuatnya sebelum saya," kata Mak.
Jobs yang mencipta revolusi dalam penciptaan komunikasi menerusi pengeluaran telefon bimbit iPhone dan gajet iPod meninggal dunia pada Rabu lalu semasa berumur 56 tahun. - Reuters

Budak Maut Didera Bapa Tiri


MANGSA BAPA TIRI...polis mengangkat mayat mangsa  untuk dibedah siasat, semalam.

10 hari derita didera bapa tiri

ALOR GAJAH: Keji dan tidak berperikemanusiaan! Itulah perkataan layak dihamburkan kepada seorang bapa tiri yang dipercayai mendera anak tirinya menggunakan besi panas dan seterika sepanjang 10 hari ibu kanak-kanak itu dirawat di hospital selepas melahirkan anak.
Selain kedua-dua tapak kaki kanak-kanak itu berlubang, dipercayai terkena besi panas atau seterika, ada juga kesan lebam kehitaman pada seluruh tubuh mangsa.
Mohd Firdaus Mat Dan, 6, dikatakan sudah nyawa-nyawa ikan ketika dibawa suspek ke Hospital Alor Gajah (HAG), di sini, jam 4.30 petang semalam dan riak wajahnya ketika itu seolah-olah menahan kesakitan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Bapa tiri berusia 37 tahun itu menghantar kanak-kanak terbabit ke hospital selepas membawa isterinya berusia 41 tahun pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Sebang, dekat sini, sebaik wanita itu dibenarkan keluar dari hospital.


Menurut sumber, mangsa yang bertubuh kurus diberikan bantuan kecemasan hampir satu jam oleh pegawai perubatan sebaik dibawa ke HAG, tetapi kanak-kanak itu gagal diselamatkan.

Ibu Jual Empat Anak


Emak Gian Jual 4 Anak

CHUKAI: Bukan saja tergamak ‘menjual’ empat daripada tujuh anaknya kepada keluarga lain untuk dijaga, seorang wanita yang terdesak mendapatkan sumber kewangan selepas berpisah dengan suaminya kira-kira empat tahun lalu, tergamak memperdagangkan tubuhnya bagi mendapatkan wang untuk menyara keluarganya.
Sumber berkata, lebih menyedihkan apabila ibu tunggal berusia 37 tahun terbabit yang turut menagih pelbagai jenis dadah bertindak keterlaluan apabila menurunkan ilmu dan pengalamannya menjual tubuh kepada anak gadisnya yang berusia 16 tahun.
“Selain mengajar anak perempuannya menjual tubuh, wanita terbabit menjadikan gadis itu yang berhenti sekolah ketika di tingkatan satu sebagai rakan penagih apabila mereka melepaskan gian dadah bersama ketika di rumah.

“Sebagai jalan mudah mendapatkan bekalan dadah, dua beranak terbabit menerima bahan terlarang itu sebagai menggantikan bayaran perkhidmatan seks ketika bersama pasangan masing-masing,” kata sumber itu.


Kegiatan dua beranak terbabit terbongkar apabila rumah mereka diserbu sepasukan anggota polis yang menjalankan Ops Tapis di Kampung Dusun Nyior..

Pertandingan dukung isteri


Pertandingan dukung isteri


ROCCO ANDREOZZI mendukung Kim Wasko semasa dia berlari dalam Kejohanan Mendukung Isteri di Resort River Ski Sunday, Maine kelmarin.


RESORT RIVER SKI SUNDAY, Maine - Pasangan Rocco Andreozzi dan Kim Wasko menang dalam Kejohanan Mendukung Isteri di sini, Amerika Syarikat kelmarin.
Mereka menamatkan larian terakhir dengan masa 49.64 saat manakala tempat kedua dirangkul oleh David dan Lacey Castro dengan masa 52.39 saat.
Seramai 47 peserta menyertai pertandingan itu dengan pemenang akan bertanding dalam Kejohanan Mendukung Isteri Peringkat Dunia.
Antara acara yang perlu para peserta lakukan ialah berlari mendaki bukit dan merempuh halangan kawasan yang berlumpur semasa mendukung pasangan mereka.
Pemenang pertandingan menerima cek bernilai AS$620 (RM1,956). - Agensi

Sunday, October 9, 2011

Cabut gigi semurah RM6.50


PARMINDER SINGH merawat gigi seorang pelanggannya di tepi sebatang jalan di Srinagar, India.



SRINAGAR, India - Penduduk di bandar ini, wilayah Kashmir tidak gemar mengunjungi klinik-klinik gigi untuk mendapatkan rawatan pergigian.
Mereka sebaliknya lebih suka menemui doktor-doktor gigi tidak bertauliah yang beroperasi di tepi jalan-jalan sekiranya mahu gigi mereka dicabut.
Berbekalkan beberapa peralatan asas termasuk pahat, doktor-doktor gigi jalanan tersebut hanya mengenakan caj sekitar AS$2.03 (RM6.50) untuk perkhidmatan mereka. - Reuters

Facebook JBPM inisiatif dekati masyarakat


KUALA LUMPUR - Pewujudan akaun laman sosial Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sekadar ikutan trend masa kini tetapi satu inisiatif bagi mendekatkan pasukan itu dengan masyarakat.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata pewujudan akaun laman sosial itu membolehkan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan orang ramai berkomunikasi.
"Dengan adanya laman sosial ini, orang ramai boleh berinteraksi dengan jabatan kita... Ia dapat memasyarakatkan perkhidmatan bomba dan berkongsi idea bagaimana nak pertingkatkan kualiti keselamatan kebakaran di kawasan komuniti masing-masing," katanya.
Terdahulu, Wan Mohd. Nor melancarkan majlis Sambutan Hari Inovasi, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, penyerahan sijil pesara dan pelancaran Facebook JBPM Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Seramai 70 anggota JBPM dianugerahkan sijil khidmat cemerlang bersama enam anggota yang telah bersara.
Akaun Facebook JBPM WP diaktifkan pada Julai lepas dengan menggunakan nama 'Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Kuala Lumpur'.

3.4 juta dapat bantuan RM500


Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan teks ucapan Bajet 2012 selepas pembentangannya di Bangunan Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 3.4 juta orang atau 53 peratus daripada isi rumah di negara ini yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan RM500 dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian tunai sekali bayar itu adalah langkah yang julung-julung kali dilakukan dengan kos RM1.8 bilion.
"Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai agensi pelaksana.
"Bantuan itu akan disalurkan melalui bank dan pejabat pos,'' kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.
Bajet bertemakan 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' itu menyediakan peruntukan sebanyak RM232.8 bilion dengan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM51.2 bilion.
Ia mempunyai lima fokus utama iaitu meligat pelaburan, mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi, program transformasi luar bandar, memperkejap perkhidmatan awam dan meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan. Untuk itu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan sistem pendidikan rendah dan menengah secara percuma.
"Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 sen bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful.
"Mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan,'' jelasnya dengan menambah, pemansuhan semua bayaran itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta.
Selain itu, Najib turut mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah daripada tahun satu hingga tingkatan lima di seluruh negara.
Bantuan itu akan melibatkan kira-kira 5.3 juta pelajar sekolah pada tahun depan dengan nilai peruntukan RM530 juta dan disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Gambar Rihanna seksi sewaktu konsert di London


AKSI ghairah yang ditunjukkan oleh Rihanna sewaktu membuat persembahan di London.



LONDON - Penyanyi Rihanna sekali lagi tampil dengan imej seksi ketika mengadakan persembahan selama dua jam di O2 Arena, London.
Dia memakai bikini dengan corak mozek berwarna-warni, kasut tumit tinggi berwarna merah jambu terang dengan tumit hijau sambil diiringi oleh beberapa orang penari. Rihanna menggunakan kereta sebagai latar belakang dalam konsert jelajahnya 'Loud Tour'.
Dalam persembahan pembukaan, penyanyi itu mengenakan baju hujan pendek berwarna biru dan menyampaikan lagu popularnya, Only Girl (In the World).
Konsert Loud Tour 2011 Rihanna melibatkan 20 buah negara termasuklah Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sebagai sebahagian daripada rangka promosi album terbarunya, Loud.
Sebelum ini, penyanyi yang terkenal dengan laguUmbrella itu diusir oleh seorang petani ketika mengadakan pengambaraan di sebuah ladang di Belfast, Ireland kerana mendedahkan dadanya. - AP

Penduduk kampung berebut mendulang emas



ORANG kampung berkumpul di sebatang sungai untuk mendulang lumpur yang dikatakan mengandungi emas berikutan berlaku kebocoran paip milik pengendali lombong emas, McMoRan Copper & Gold di kampung Kwamki Lama, wilayah Papua, Indonesia semalam. - Reuters


KWAMKI Lama, Papua - Kebocoran sebatang paip yang mengalirkan mineral bumi berharga seperti emas, tembaga dan perak telah membuatkan penduduk kampung di sini berebut-rebut untuk mendulangnya.
Paip itu milik syarikat perlombongan Freeport McMoRan Copper & Gold dari Amerika Syarikat (AS). Walaupun cuba dihalang oleh kakitangan Freeport daripada mendulang, namun amaran itu langsung tidak dihiraukan.
Orang kampung yang terdiri daripada golongan tua hinggalah kanak-kanak membawa pelbagai peralatan untuk mendulang. Antara alat yang digunakan termasuklah kuali, selimut, skup, karung dan dulang.
Mereka dilihat tidak peduli untuk bergelumang dalam lumpur berwarna hitam itu demi mencari emas, perak atau tembaga.
Material bumi yang keluar dari paip tersebut dikatakan mengalir hingga ke Sungai Otomona menyebabkan airnya yang jernih bertukar hitam.
Seorang pegawai daripada Jabatan Keselamatan dan Pengurusan Risiko Freeport, Paulus Kogoya memberitahu kebocoran berlaku kerana paip terbabit sudah haus.- Agensi

Bajet 2012 matikan hujah pembangkang


KUALA SELANGOR 8 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tuduhan pembangkang bahawa Bajet 2012 tidak realistik menunjukkan mereka mati akal dan tidak mempunyai jawapan bagi menyerang kerajaan.
Beliau berkata, Bajet 2012 yang dibentangkan semalam merupakan sesuatu yang boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan serta bukan hanya janji-janji kosong.
"Untuk Bajet 2012 kita guna pakar-pakar dari Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain, bukan pak pandir. Semua pandai-pandai dan ada kelulusan Phd.
"Bajet kita bukan untuk sedapkan hati rakyat, kita tidak tipu rakyat. Sebaliknya ia merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya semasa berucap pada majlis lawatan mesra rakyat di Ladang Tuan Mee, Ijok di sini, hari ini.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam bersama lebih 3,000 masyarakat setempat serta menyampaikan sumbangan Deepavali dan Hari Raya Aidiladha kepada 600 penerima. – Bernama

Belanjawan 2012 beri IKS peluang kedua


Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dapat memberi peluang kedua kepada para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini terutamanya usahawan yang pernah gagal.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, belanjawan yang diumumkan itu adalah untuk membantu IKS termasuk IKS yang pernah gagal.
"Jadi ada peluang kedua kepada mereka setelah mereka jatuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan My Kitchen Nasir Interior Decoration di Tanah Merah dekat sini hari ini.
Beliau berkata, permohonan untuk disediakan dana pemulihan itu adalah disebabkan maklum balas yang diterima daripada pengusaha-pengusaha IKS yang menghadapi masalah kewangan dan jika kerajaan tidak membantu, mungkin usahawan akan terjerumus ke arah muflis.
Mukhriz berkata, kadang-kadang untuk IKS ia tidak memerlukan banyak dana tetapi sedikit bantuan pun sudah membantu mereka daripada muflis.
Beliau berkata, dalam IKS antara cabaran yang besar adalah modal dan itu yang kerajaan perlu bantu sedaya yang boleh tapi pengusaha pun perlu berusaha sendiri. — Bernama

Gambar Pokok Kenaf



Pokok untuk diproses untuk menjadi kertas..

Produk kenaf dikomersialkan 2012


BUTTERWORTH — Produk pembungkusan yang dihasilkan dengan campuran kenaf dan beberapa serat tumbuhan lain dijangka dapat dikomersialkan pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, produk pembungkusan yang dihasilkan berasaskan kenaf dan campuran beberapa serat tumbuhan itu merupakan produk yang mudah terurai dan dilupuskan, ia secara tidak langsung mampu menyelamatkan ekosistem daripada pencemaran sisa domestik.
"Saya berharap dapat dipercepatkan kerjasama antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dengan syarikat Return 2 Green Sdn Bhd bagi mengetengahkan produk yang sangat canggih ini,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai kajian dan pembangunan (R&D) produk pembungkusan berasaskan kenaf dan mengadakan lawatan ke makmal dan kilang Return 2 Greend di sini hari ini.
Katanya, R&D mengenai campuran kenaf dan beberapa serat lain telah dijalankan selama tiga bulan dan hasilnya sangat membanggakan kerana produk yang dikeluarkan mempunyai kualiti yang tinggi. — Bernama

Anjing lari melihat Julia Roberts



Agensi OPTIMUS berundur jauh kerana takut melihat imej aktres jelita berkenaan. Gambar kecil Julia Roberts.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) – Dia merupakan wanita idaman lelaki sejak 20 tahun dahulu, malah hingga sekarang, masih ramai lelaki yang mengimpikan untuk mendampingi aktres Julia Roberts, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Namun, lain pula ceritanya dengan seekor anjing bernama Optimus. Hanya kerana melihat kelibat Roberts, 43, dalam majalah sudah cukup untuk membuatkan anjing jantan itu lari seperti tidak cukup tanah.
Aksi melucukan itu yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube telah ditonton lebih 400,000 kali.
Klip video tersebut menunjukkan seorang lelaki di sebuah kediaman memanggil Optimus dan menunjukkan gambar bintang filem Pretty Woman itu kepada anjingnya.
Namun, sebaik sahaja melihat imej Roberts, telinga Optimus terus menegak. Ia kemudian berundur tetapi matanya tetap terpaku pada gambar aktres berkenaan.
Apabila aksi serupa diulang, Optimus pantas melarikan diri ke bilik lain di kediaman itu.
Dalam komennya, lelaki tersebut menyatakan dia sendiri tidak tahu mengapa Optimus begitu takut dengan aktres popular Hollywood itu. – Agensi

56 maut dalam kemalangan sehari di China


SEBUAH kereta remuk digilis treler dalam kemalangan melibatkan 24 kenderaan di Xiaoxian, China kelmarin.



BEIJING – Sebanyak 56 nyawa melayang dalam tiga kemalangan maut di China pada hari terakhir cuti umum selama seminggu di negara berkenaan.
Agensi berita Xinhua semalam melaporkan mangsa-mangsa yang maut termasuk 35 penumpang sebuah bas yang bertembung dengan kereta di sebuah lebuh raya di utara China.
Menurut Xinhua, bas terbabit terbalik selepas merempuh sebuah kereta di bandar pelabuhan Tianjin tengah hari kelmarin dengan menyebabkan 18 yang lain cedera.
Di bandar Xiaoxian, wilayah Anhui akhbar Beijing News melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dengan 19 lagi cedera dalam rempuhan melibatkan 24 buah kenderaan ketika cuaca berkabus.
Pada masa yang sama, akhbar berkenaan menyatakan, 11 orang di dalam sebuah van maut selepas kenderaan itu dirempuh sebuah trak di wilayah Henan, tengah China.
Kemalangan serius kerap berlaku di China dengan muatan berlebihan atau kecuaian pemandu seringkali menjadi faktor nahas.
Kelmarin merupakan hari terakhir cuti umum sempena sambutan Hari Kebangsaan China. – AP

SHARE THIS

Blog Archive